RISIKO KANDUNGAN KEMBAR

Wednesday, August 10, 2011

Sesetengah ibu mungkin akan terkejut dan rasa kurang percaya apabila doktor mengatakan kandungan mereka kembar.Mungkin ramai ibu suka dan amat berharap dikurniakan kandungan kembar. Mereka ini mungkin berpendapat bahawa hanya dengan sekali mengandung tetapi dapat melahirkan dua orang cahaya mata.

Walau apa pun pendapat dan tanggapan mereka, bagi doktor semua kandungan kembar adalah kandungan yang berisiko tinggi.

Kandungan kembar boleh membawa kepada banyak komplikasi. Secara umumnya lebih banyak janin yang dikandung seperti kembar empat atau kembar lapan, maka lebih tinggi kematian dan morbiditi terhadap bayi dan ibu.

Kadar kandungan kembar di kalangan penduduk kulit hitam adalah lebih tinggi berbanding penduduk kulit putih dan orang Asia.

Secara kasar insiden kembar di kalangan wanita kulit putih adalah 1 dalam 100 kelahiran, wanita kulit hitam pula, 1 dalam 79 kelahiran dan wanita Asia 1 dalam 155 kelahiran.

Dengan adanya mesin ultrasound, kandungan kembar dapat dikesan pada peringkat awal. Selain itu maklumat lain seperti bilangan kembar, jenis kembar, kandungan air mentuban dan kedudukan uri dapat diketahui secara terperinci.

Kecacatan kongenital juga dapat dikesan dengan terperinci menggunakan mesin ultrasound.

Ini membolehkan pengendalian kes kembar dibuat dengan lebih baik dan teratur.

Salah satu faktor yang menyebabkan kadar kembar semakin tinggi kini ialah penggunaan ubat-ubatan untuk rawatan ketidaksuburan di kalangan wanita. Ini termasuklah pengambilan pil subur (clomiphene citrate) iaitu rawatan yang sering digunakan untuk merangsang pengeluaran ova (telur) dari kilang telur atau ovari.

Jika terlalu banyak telur dikeluarkan pada waktu subur kandungan kembar mungkin akan terjadi. Penggunaan teknik canggih seperti IVF serta penggunaan suntikan (gonnadotrophin) untuk ovulasi juga boleh mengakibatkan kadar kandungan kembar yang tinggi.

Kandungan kembar boleh dibahagikan kepada dua jenis.

Kembar seiras (Identical twin atau monozygotic twin)

Ia melibatkan belahan (division) pada hanya satu ova yang telah disenyawakan kepada dua embrio. Waktu berlakunya belahan tersebut adalah sangat penting kerana ia boleh menentukan sama ada kandungan kembar itu berkongsi satu uri atau mempunyai uri masing-masing.

Jenis-jenis kembar seiras adalah seperti:

a) Diamniotic dichorionic monozygotic twin

Ia terjadi apabila belahan berlaku dalam masa 72 jam selepas persenyawaan.

Jenis kembar ini mempunyai uri dan sarung berasingan. Insiden berlakunya kembar ini adalah 30 peratus.

Kematian kandungan kembar ini adalah paling rendah sekali iaitu 9 peratus berbanding jenis kembar yang lain.

b) Diamniotic monochorionic twin

Ia terjadi jika belahan berlaku dalam masa empat hingga lapan hari selepas persenyawaan.

Kembar jenis ini berkongsi satu uri tetapi mempunyai dua sarung berasingan. Insiden berlakunya kembar jenis ini adalah paling tinggi iaitu 68 peratus. Kematiannya pula adalah sebanyak 25 peratus.

c) Monozygotic monochorionic twin

Ia berlaku apabila belahan terjadi pada hari kelapan atau lebih. Insiden kembar jenis ini cuma dua peratus sahaja.

Ia mencatatkan kematian yang tertinggi iaitu 50 peratus.

Kematian janin biasanya berlaku apabila tali pusat berbelit atau akibat daripada twin transfusion.

d) Conjoined twin

Ia berlaku apabila belahan terjadi selepas pembentukan disc embrio. Insiden kembar sebegini cuma satu dalam 60,000 kelahiran.

e) Kembar tidak seiras (Fraternal twin atau dizygotic twin)

Ia melibatkan persenyawaan dua ova yang berlainan. Persenyawaan boleh berlaku pada kitaran haid yang sama atau kitaran haid yang berlainan. Kembar ini boleh mempunyai jantina yang berlainan dan uri yang berasingan.

Masalah-masalah atau risiko-risiko yang sering dikaitkan dengan kandungan kembar adalah seperti di bawah:

* Kelahiran pramatang (Premature delivery).

Hampir 50 peratus daripada kembar dilahirkan dengan berat badan yang rendah dan antara 22 dan 54 peratus adalah pramatang.

Faktor pramatang inilah menjadi penyebab utama mortaliti dan morbiditi dalam kandungan kembar.

* Pertumbuhan janin yang terencat (intrauterine growth retardation). Pembesaran yang tidak simetri boleh berlaku dalam kadar 15 peratus hingga 30 peratus. Ia berlaku akibat bekalan darah yang terganggu terutama jika janin berkongsi uri. Ini sering terjadi di kalangan kembar jenis monozygotic.

* Kematian perinatal (perinatal mortality). Ia boleh terjadi dalam anggaran 10-15 peratus iaitu lebih kurang 3-11 kali lebih kerap berbanding dengan kandungan single. Kematian ini adalah berpunca daripada pramatang, kecacatan kongenital, twin transfusion syndrome dan trauma kelahiran.

* Keguguran (abortion). Masalah ini boleh terjadi dua kali lebih kerap di kalangan kandungan kembar berbanding dengan kandungan single.

* Kecacatan kongenital (congenital malformation). Ia dikatakan dua kali lebih kerap terjadi di kalangan kandungan kembar berbanding dengan kandungan single. Masalah ini adalah lebih kerap dilihat pada pasangan monozygotic.

* Darah tinggi semasa mengandung (pregnancy induced hypertension) dikatakan sering terjadi antara tiga hingga lima kali ganda lebih pada kandungan kembar.

* Anaemia yang disebabkan kekurangan zat besi adalah jauh lebih kerap terjadi pada kandungan kembar berbanding dengan kandungan single.

* Kandungan mentuban yang banyak (polyhydramnios). Ini juga adalah satu masalah yang sering terjadi pada kandungan kembar terutama sekali di kalangan kembar jenis monozygotic.

* Kedudukan bayi yang normal (malposition). Jika kedudukan bayi itu melintang atau menyongsang, kelahiran secara pembedahan Caesarean harus dilakukan. Ada kalanya pembedahan Caesarean juga dilakukan untuk kelahiran kembar kedua jika menghadapi masalah.

* Birth asphyxia atau neonatal depression. Masalah ini biasanya dikaitkan dengan pramatang ataupun masalah-masalah yang timbul sewaktu kelahiran.

* Placenta previa (kedudukan uri bawah) juga dikatakan sering terjadi pada kandungan kembar.

* Uri lekang (abruptio placenta). Masalah ini ada kalanya dilihat selepas kelahiran kembar yang pertama. Ini dikatakan terjadi disebabkan oleh decompression secara mendadak pada rahim.

Di sebabkan komplikasi-komplikasi inilah maka kandungan kembar dikategorikan sebagai kandungan yang berisiko tinggi. Oleh itu kandungan kembar memerlukan penjagaan antenatal yang lebih teliti dan lebih kerap.

Komplikasi-komplikasi yang mungkin timbul bukan hanya di peringkat antenatal malah sewaktu bersalin dan juga selepas bersalin.

Sumber:Utusan Malaysia

(Oleh Dr. Suraya Arshad A.M.Z., Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G))
Suke ke??? LIKEkan je!!!!

0 comments:

Post a Comment

 
!-- page load timer start -->
copyright@Segala Yang Tercatat diatas adalah Hak Milik Mommy Nyrra