BAHAYANYA KEDUDUKAN URI DIBAWAH KETIKA HAMIL!!!

Wednesday, July 13, 2011

kali nih mummy nak berkongsi tentang bahayanya kedudukan uri di bawah!!!!...mummy penah juga mengalami detik2 cemas ni time preggykan si tecik sufi...dah la uri kat bawah+bleeding=keguguran kembar si tecik sufi....so jom layan topik kali nih..



BAGI yang sedang menunggu saat-saat kelahiran sama ada cahaya mata pertama mahupun yang seterusnya, anda pasti menaruh harapan agar kesihatan bayi dalam kandungan dan diri sentiasa dalam keadaan selamat.

Namun, tiada siapa yang boleh menjamin keadaan ini akan berkekalan.


Bagaimana perasaan anda jika hasil pemeriksaan doktor mendapati keadaan uri anda yang sepatutnya berada di bahagian atas tiba-tiba berada di kedudukan yang abnormal ketika kandungan mencecah usia 28 minggu?

Apakah yang didefinisikan sebagai kedudukan uri yang abnormal atau juga dikenali dengan uri di bawah?

Mungkin anda tertanya-tanya sejauh manakah bahayanya keadaan ini kepada kandungan mahupun diri anda sendiri.

Kedudukan uri di bawah atau dalam istilah perubatannya dikenali sebagai Placenta Previa (PP) merupakan salah satu komplikasi yang biasa ditemui di kalangan wanita hamil.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G), di salah sebuah hospital swasta di Kuantan, Dr. Suraya Arshad berkata, PP merupakan keadaan di mana uri berada pada segmen bawah dinding rahim.

Menurut beliau, dalam keadaan ini, uri tersebut boleh menutupi sebahagian atau keseluruhan bukaan rahim atau os.

“PP cuma boleh didefinisikan sekiranya tempoh kehamilan melebihi 28 minggu.

“Ini kerana dalam tempoh tersebut segmen bawah rahim mula terbentuk,'’ jelasnya.

Kedudukan uri di bahagian bawah pada peringkat awal kehamilan adalah suatu keadaan yang normal.

Biasanya, uri ini akan berubah kedudukannya apabila kehamilan telah mencecah usia 28 minggu.

Dr. Suraya memberitahu, hampir 90 peratus kes individu yang mempunyai kedudukan uri di bawah akan berakhir dengan kedudukan uri yang normal di akhir tempoh kehamilan.

Dianggarkan PP ditemui satu dalam setiap 200 kelahiran.

PP bukanlah sejenis penyakit, tetapi ia adalah satu keadaan yang menjelaskan tentang kedudukan uri yang abnormal.

Sehingga hari ini punca berlakunya PP ini tidak diketahui.

Meskipun begitu, ia boleh membahayakan nyawa ibu mahupun bayi dalam kandungan.

Uri dan tali pusat merupakan bahan antara yang menghubungkan ibu dan janin dalam rahim.

Uri berfungsi membawa zat makanan kepada bayi dan juga mengeluarkan hormon-hormon yang penting semasa mengandung.

Pada masa yang sama ia juga mengkumuhkan bahan-bahan buangan melalui sistem tapisan.

Dalam keadaan yang normal kedudukan uri adalah di segmen atas dinding rahim.

Kedudukan uri yang abnormal ini terbahagi kepada tiga iaitu:

1) Marginal Previa
Uri terletak di segmen bawah rahim dan di pinggir bukaan rahim.

2) Partial Previa
Uri menutupi sebahagian bukaan rahim.

3) Total previa
Uri menutup keseluruhan bukaan rahim.

Sebahagian daripada ibu-ibu ini tidak mempunyai gejala. Gejala yang mungkin dialami adalah seperti berikut:

- Pendarahan tanpa rasa sakit yang boleh berlaku bila-bila masa dan dalam apa-apa keadaan pun dalam tempoh 28 minggu kehamilan sehingga sebelum kelahiran.

Pendarahan ini mungkin banyak atau sedikit.

Walaupun mungkin sedikit namun ia adalah tanda amaran yang mana keadaan yang lebih serius lagi mungkin akan berlaku. Pendarahan serius seperti air paip mengalir boleh berlaku yang boleh mengakibatkan individu kehilangan banyak darah.

Kehilangan darah yang banyak ini jika dibiarkan boleh mengakibatkan kematian ibu dan anak yang dikandung.

- Kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblique).

Kedudukan kepala bayi perlu sentiasa berada di atas rongga pelvis di saat tempoh matang kehamilan.

- Selain masalah pendarahan yang membimbangkan, faktor lain yang mempengaruhi keadaan ibu ialah kaedah kelahiran bayi itu sendiri.

Mereka ini biasanya tidak dapat melahirkan bayi secara normal akibat kedudukan uri yang menghalang kelahiran bayi melalui bukaan pintu rahim.

Kaedah pembedahan Caesarean adalah kaedah yang disyorkan.

Selain itu, jika keadaan ibu membimbangkan akibat pendarahan, pembedahan Caesarean terpaksa dijalankan walaupun dalam keadaan kehamilan yang tidak cukup bulan.

Apa yang membimbangkan mengenai PP ini ialah komplikasi yang boleh timbul pada bayi dan ibu.

a. Komplikasi pada bayi adalah seperti:
- Pendarahan yang banyak pada ibu ini boleh mengakibatkan morbiditi dan kematian pada bayi
- Meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan
- Kemungkinan pertumbuhan bayi agak terencat akibat uri menjadi lekang (poor placental perfusion).

b. Komplikasi pada ibu pula ialah:
- Pendarahan yang serius yang boleh mengancam nyawa
- Pembedahan Caesarean
- Meningkatkan risiko pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage)
- Meningkatkan risiko uri melekat pada rahim. Ia dikenali sebagai placenta accreta.

Dalam keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim akibat sebahagian tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim.

Jika ini berlaku rahim terpaksa dibuang demi menyelamatkan ibu.

Bagaimanapun, risiko placenta accreta di kalangan ibu yang tidak mempunyai sejarah pembedahan pada rahim hanyalah sekitar lima peratus sahaja.

Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai sejarah pembedahan di rahim umpamanya pembedahan Caesarean, risiko placenta accreta bertambah 25 peratus.

Risiko ini boleh meningkat sehingga 45 peratus bergantung pada jumlah pembedahan yang telah mereka lalui.

Wanita yang berisiko tinggi
- Mereka yang mempunyai sejarah PP pada kandungan yang sebelumnya
- Wanita yang berusia 40 tahun ke atas
- Pernah menjalani pembedahan pada rahim - pembedahan Caesarean atau pembuangan fibroid pada rahim
- Wanita yang melahirkan ramai anak (multigravida)

Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya melahirkan kandungan dengan kaedah yang selamat iaitu pembedahan Caesarean.

Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan ia bergantung kepada penilaian dan faktor-faktor berikut:

- Tahap keseriusan pendarahan
- Usia bayi dalam kandungan
- Sokongan perkhidmatan pediatrik

Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi tiada pendarahan berlaku, pembedahan Caesarean secara elektif akan dilakukan pada minggu ke-37 hingga 38 usia kandungan.

Jika pendarahan berlaku sebelum usia kandungan tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah mempertimbangkan faktor-faktor di atas.
Suke ke??? LIKEkan je!!!!

0 comments:

Post a Comment

 
!-- page load timer start -->
copyright@Segala Yang Tercatat diatas adalah Hak Milik Mommy Nyrra